MUARA, Isnin 8 Nov 2021 – Dalam situasi negara yang masih mengalami hambatan pendemik COVID-19, kesedaran dan kepekaan orang ramai terhadap larangan-larangan yang diterapkan oleh pihak kerajaan haruslah dipatuhi dan dihadam dengan sebaiknya. 

Adapun larangan tersebut bukan untuk diambil mudah dan ringan sahaja malah ianya penting diikuti secara tertib dan munasabah bagi memastikan masyarakat awam lebih faham akan implikasi terhadap situasi negara ketika ini. 

Namun demikian, satu rakaman video telah tular di media sosial memaparkan perarakan sejumlah kenderaan dipercayai bertujuan untuk meraikan sambutan hari ulang tahun yang telah berlaku pada 7 November 2021 di kawasan Perumahan Negara Panchor Mengkubau, Daerah Brunei Muara. 

Di samping itu juga, pihak polis turut menafikan akan keterlibatan mahupun menerima sebarang permohonan bagi kebenaran mengadakan perarakan tersebut. 

Berikutan dengan insiden video yang tular, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Muara telah membuka kertas penyiasatan bagi menjalankan siasatan lanjut akan insiden berkenaan. 

Justeru, turut diperingatkan kepada orang ramai bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 bagi sesiapa yang membuat sebarang acara perarakan yang tidak ada kebenaran di kawasan awam dan juga larangan terhadap sebarang perkumpulan ramai di bawah Seksyen 20 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI