BANGAR, Ahad 9 Mei 2021 – Sejumlah 626 paket produk makanan beku jenama Ayamas dan Ramly dirampas hasil daripada penahanan dan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan bersama pemandunya semalam. 

Berikutan daripada pemantauan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 8 Mei 2021 di kawasan penurunan perahu Kg Buda-Buda telah membawa kepada penahanan seorang suspek bersama kenderaannya kerana dipercayai membawa kotak-kotak yang mencurigakan disimpan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bonet belakang kereta. 

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan sejumlah produk makanan beku iaitu 576 paket frankfurter ayam jenis Ayamas dan 50 paket burger lembu jenama Ramly dipercayai diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah dan tidak diisytiharkan. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 25 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal dan akan diserahkan penyiasatan kes bersama suspek dan barang rampasan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru orang ramai untuk mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke talian kecemasan 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan serta menyalurkan maklumat melalui emel ke laman sesawang PPDB www.police.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI