BRUNEI MUARA, Khamis 23 Sept 2021 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 telah memberikan bantuan sepenuhnya dalam menguatkuasakan akta tersebut seperti menjalankan operasi pemeriksaan dan tindakan kepada individu-individu yang melanggar perintah berkenaan.
Operasi yang dijalankan adalah seperti sekatan-sekatan jalanraya, rondaan pemantauan dan tindakan serta bantuan keanggotaan ke lokasi-lokasi sepertimana yang dikerahkan.
Setakat ini, hasil daripada tindakan operasi dan laporan yang diterima Pihak Polis bermula pada 14 Ogos 2021 sehingga 23 September 2021 telah mencatatkan ;
1- Sebanyak 47 kes kesalahan yang melibatkan pelanggaran perintah kuarantin (kod Ungu dan Biru).
2- Sebanyak 712 kesalahan melibatkan individu-individu yang didapati tidak memakai sungkup muka.
3- Manakala sebanyak 10 kes lagi yang melibatkan kesalahan aktiviti berkumpulan.
Di samping itu, tujuan operasi-operasi yang dijalankan adalah bagi memastikan masyarakat awam akur dan patuh akan arahan yang ditegaskan oleh pihak kerajaan dan Pihak Polis tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan sebarang tindakan jika didapati ingkar.
Kerjasama orang awam amat diperlukan pada ketika ini dalam sama-sama bertanggungjawab, menyahut seruan kerajaan dalam mengawal dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
