TEMBURONG, Sabtu 14 November 2020 – Hasil perkongsian maklumat yang diperolehi, Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil mengesan serta membuat penahanan ke atas sebuah kenderaan bersama pemandunya yang dipercayai sedang membawa barang tegahan di kawasan KM 11 Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (SHOAS) hala ke Brunei Muara.
Sejurus membuat pemeriksaan dan telah mendapati terdapat sejumlah bungkusan berwarna hitam yang mencurigakan memenuhi ruang tempat duduk dibahagian penumpang. Siasatan lalu dijalankan dan menemukan bahawa bungkusan tersebut dipercayai barangan tegahan iaitu minuman keras.
Suspek (pemandu) merupakan seorang lelaki penduduk tetap berbangsa cina berumur 50 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Temburong bagi menjalani siasatan bersama penemuan barang rampasan.
Kesemua barangan tegahan yang ditemui berjumlah 720 tin dan 120 botol minuman keras pelbagai jenama.
Kejayaan ini merupakan hasil daripada perkongsian maklumat yang disalurkan orang awam kepada pihak penguatkuasa bagi sama-sama mengambil tanggungjawab memastikan kegiatan penyeludupan diambil tindakan sewajarnya.
Kes siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
