TUTONG, Rabu, 18 Februari 2026 – Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan Kempen Derma Darah yang berlangsung di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong.
Kempen tersebut melibatkan penyertaan pegawai dan anggota Daerah Polis Tutong serta ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung bagi sama-sama menjayakan inisiatif berkenaan.
Sepanjang kempen dijalankan, sebanyak 40 pain darah berjaya dikumpulkan bagi menampung keperluan semasa dan memastikan bekalan darah berada pada tahap yang mencukupi.



Penganjuran kempen ini bertujuan membantu mengekalkan kestabilan bekalan darah, khususnya menjelang dan sepanjang bulan Ramadan. Selain itu, ia juga berperanan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga pasukan serta masyarakat mengenai kepentingan menderma darah sebagai satu tanggungjawab sosial dan sumbangan kemanusiaan yang berupaya menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
PPDB akan terus komited melaksanakan inisiatif berbentuk kemasyarakatan seumpama ini sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usaha kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
