TEMBURONG, Khamis 19 Ogos 2021 – Di saat negara mengalami hambatan pandemik wabak COVID-19, berbagai usaha telah diterapkan oleh kerajaan bagi memupuk kesedaran orang ramai akan betapa pentingnya larangan-larangan yang telah dikuatkuasakan bagi memastikan rantai penularan wabak ini ditamatkan dan terputus daripada jauh lebih merebak di kalangan orang ramai. 

Walau bagaimanapun amat mendukacitakan, bilamana terdapat segelintir individu yang masih memandang ringan dan mengambil kesempatan akan larangan-larangan tersebut dengan melakukan aktiviti-aktiviti jenayah seperti kegiatan penyeludupan. 

Insiden terbaru ialah, kejadian penyeludupan yang melibatkan seorang suspek lelaki (pemandu) warganegara tempatan berumur 24 tahun yang cuba untuk menyeludup barang tegahan iaitu minuman keras ke negara ini melalui kawasan Kg Belayang, Daerah Temburong. 

Insiden penyeludpan terbongkar, ketika mana keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang membuat rondaan pemantauan dan telah menemukan sebuah kenderaan yang mencurigakan sedang keluar daripada persimpangan Kg Belayang. Suspek telah dikerah untuk memberhentikan kenderaan malah enggan dan memecut laju melarikan diri menuju masuk ke Jambatan SHOAS. 

Keanggotaan bantuan polis segera diaktifkan dan insiden kejar mengejar pun berlaku. Suspek bersama kenderaan kemudian berjaya ditahan selepas terlibat dengan kemalangan di kawasan Jalan Kota Batu, Bandar Seri Begawan. 

Setelah pemeriksaan dijalankan dan telah mendapati sejumlah bungkusan kotak hitam tersimpan di kawasan tempat duduk penumpang hadapan dan ruangan simpanan bonet kenderaan dipercayai minuman keras yang berjumlah 108 botol. 

Suspek dan kenderaan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan awal dan kemudian diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

PPDB akan sentiasa meningkatkan lagi kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan-kawasan pengawalan bagi memastikan kegiatan-kegiatan jenayah penyeludupan dibanteras dengan sebaiknya di samping menyahut seruan kerajaan dalam memantau dan mengambil tindakan kepada individu yang melanggar Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI