MUARA, Isnin 9 November 2020 – Seorang lelaki serta seorang wanita warga tempatan telah ditahan oleh keanggotaan peronda sungai Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama barang tegahan berupa minuman keras iaitu 420 botol dan 380 tin berbagai jenis. 

Pada awal pagi 9 November 2020, berikutan maklumat yang diterima dari orang awam berhubung kegiatan penyeludupan, keanggotaan peronda sungai Polis Marin telah menjalankan pemantauan di kawasan Pulau Berbunut, perairan Sungai Brunei dan telah mendapati 2 buah perahu kecil dan sebuah perahu besar dalam keadaan mencurigakan seraya melarikan diri setelah menyedari kehadiran akan pihak polis.  

Pihak polis telah menemukan semula 2 buah perahu kecil berkenaan tanpa pemandu di kawasan letak Kereta Kg. Sungai Besar manakala sebuah lagi perahu besar tidak berjaya ditemukan. Pada masa yang sama pihak polis telah menahan sebuah kereta bersama pemandu dan penumpangnya dalam keadaan mencurigakan yang berada dekat dengan 2 buah perahu berkenaan.  

Semasa pemeriksaan dilakukan pihak polis telah menjumpai kotak-kotak yang berisi barang tegahan iaitu minuman keras berbagai jenis. Suspek serta barang bukti dibawa ke Polis Marin sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED). 

PPDB akan sentiasa meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan kawalan bagi memastikan negara bebas dari jenayah rentas sempadan. Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau mengongsikan membuat laporan jika mengesan aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI