BRUNEI MUARA, Sabtu 28 November 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan seorang (1) lelaki warga asing dipercayai ‘bapa ayam’ bersama dua (2) orang wanita warga asing dalam operasi yang dijalankan di sebuah rumah sewa di kawasan Kg Salambigar, Daerah Brunei Muara.
Dua orang wanita beserta lelaki itu ditahan dalam satu serbuan yang dikendalikan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei pada petang sabtu 28 November 2020.
Kedua suspek wanita merupakan warganegara berbangsa Thailand dan Indonesia berumur lingkungan 35 dan 38 tahun diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral iaitu menawarkan khidmat seks. Manakala suspek lelaki tersebut berbangsa Bangladesh berumur 39 tahun.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati beberapa barang bukti seperti beberapa kepingan kondom dan wang tunai di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tidak bermoral itu.
Kesemua suspek bersama barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan di bawah Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak Penggal 120.
Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau memberikan khidmat seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan agar melaporkan ke talian kecemasan Pasukan Polis Diraja Brunei 993 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
