MUARA, Rabu 7 Julai 2021 – Pada 6 Julai 2021 sekitar waktu petang, satu maklumat perkongsian telah diterima daripada orang awam berhubung sebuah perahu yang didapati terdampar di kawasan perairan Pulau Bedukang dipercayai disebabkan oleh keadaan paras air yang surut. 

Bertindak terhadap maklumat tersebut, keanggotaan Peronda Sungai Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan dan telah mengesahkan mengenai penemuan perahu tersebut tanpa ada sebarang pemandu. 

Semasa pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemui sejumlah bungkusan yang mencurigakan memenuhi ruangan perahu berkenaan dan setelah siasatan dijalankan mendapati barangan tersebut merupakan barang-barang tegahan seperti daging mentah dan rokok. Kesemua barangan termasuk perahu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin untuk menjalani siasatan awal dan akan diserahkan penyiasatan seterusnya kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BMKH) bagi tindakan lanjut. 

Hasil daripada pemeriksaan barangan tegahan telah mendapati sejumlah ; 

1- 17 Kotak Frankfurter Ayam jenama Ayamas

2- 1 kotak daging mentah jenama Allana

3- 1 kotak Nugget Ayam jenama Likes

4- 19 kotak tongkeng ayam

5- 5 kotak sayap ayam

6- 130 katon rokok

PPDB akan sentiasa meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan perairan negara ini bagi memastikan tiada ada pelanggaran undang-undang berlaku serta percubaan-percubaan bagi menyeludup barang-barangan tegahan.

Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat awam agar memainkan peranan sewajarnya selaku mata dan telinga pihak berkuasa dalam sama-sama membantu mengongsikan maklumat dalam pengesanan dan pembenterasan aktiviti-aktiviti yang berbaur negatif di kawasan kediaman dan persekitaran mereka.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI