TEMBURONG, Ahad 6 Sept 2020 – Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei telah berhasil merampas sejumlah minuman keras yang ditemui di dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan di kawasan Simpang 211, Kampong Batang Tuau, Mukim Bangar.
Penemuan tersebut adalah hasil daripada maklumat dan aduan yang diterima daripada ahli Pengawasan Kejiranan (PK) mengenai sebuah kereta dengan menggunakan nombor pendaftaran negara ini ditemui dan ditinggalkan dalam keadaan yang mencurigakan.
Sejurus maklumat diterima, Keanggotaan Balai Polis Temburong segera dikerah untuk ke tempat kejadian untuk memastikan kesahihan laporan dan bagi menjalankan siasatan.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta tersebut telah menemukan bungkusan berupa barangan tegahan minuman keras berjumlah 60 kotak.
Penemuan kereta dan barang tegahan tersebut telah dibawa keluar dari tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Temburong bagi dijalankan siasatan.
Kesemua barangan rampasan beserta kertas penyiasatan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.
Dalam hal ini, Pasukan Polis Diraja Brunei beserta agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan sentiasa teguh meningkatkan keupayaan masing-masing dalam memperkasa usaha kerajaan bagi sama-sama membanteras, mengesan dan juga menangani isu-isu berkaitan dengan jenayah rentas sempadan untuk ditangani sehingga ke akar umbi.
Pemantauan dan pembanterasan kegiatan sedemikian akan sentiasa utuh dan tidak akan terputus demi menanai hasrat negara untuk memastikan anasir-anasir negatif dan berupa jenayah diluputkan dengan sehabisnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
