ISNIN, 18 Okt 2021 – Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis [PEKERTI] telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1443H/2021M pada hari Isnin, 18 Oktober 2021, jam 8.00 malam secara maya.
Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman, Isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Dipertua PEKERTI. Turut menyertai Yang Mulia Datin Hajah Siti Shamsiah binti Haji Abd Samad selaku Pengerusi PEKERTI, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli dari kelima-lima cawangan PEKERTI.
Seramai lebih lima puluh orang ahli-ahli PEKERTI telah ikut serta dalam majlis ini yang diketuai oleh Yang Mulia Penguasa Polis (Superintendant) Hajah Norputemah binti Haji Puteh. Acara dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah, Dikir Pembukaan ‘Assallai’, Selawat Marhabban dan disudahi dengan Doa Penutup.
Majlis ini adalah aktiviti tahunan bagi PEKERTI yang dikendalikan bersama oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Badan Ugama bagi menyemai perasaan kasih sayang terhadap Pemimpin Umat Islam yang dicintai iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di samping meningkatkan hubungan silaturahim di antara semua ahli.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
