TEMBURONG, Selasa 23 Feb 2021 – Satu kemalangan kereta dan motosikal mengakibatkan kematian telah berlaku di kawasan Jalan Labu, Kg Perdayan Temburong pada 23 Februari 2021.
Pihak Polis mengesahkan telah menerima panggilan kecemasan tersebut pada sekitar jam 11.16 pagi dan telah mengaktifkan keanggotaan Balai Polis Bangar untuk menjalankan siasatan.
Sejurus tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal telah dikejarkan ke Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam (PIHM) Temburong dan disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas akibat daripada beberapa kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan badan hasil daripada kemalangan berkenaan.
Siasatan telah mendapati mangsa yang meninggal dunia (penunggang motosikal) merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan daripada Bangar menghala ke Labu.
Walau bagaimanapun, semasa mangsa berada di kawasan jalan labu berdekatan gerai sayur telah berlaku kejadian kemalangan di antara penunggang motosikal dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang warga penduduk tetap berumur 51 tahun.
Pihak Polis juga mengesahkan bahawa punca kemalangan masih dalam siasatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan dan menegaskan kepada semua pengguna jalanraya untuk sentiasa berwaspada semasa memandu dan jangan mengambil remeh dan leka akan peraturan dan etika semasa pemanduan di jalanraya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
