BERAKAS, Isnin 30 November 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan seorang lelaki yang terlibat dalam kes jenayah dipercayai rompakan bersenjata yang berlaku di sebuah kedai runcit, Jalan Pasir Berakas, Daerah Brunei Muara. 

Dalam kejadian yang berlaku pada hari Ahad sekitar waktu pagi 29 November 2020, seorang warga asing yang merupakan jurujual di kedai runcit tersebut telah menjadi mangsa rompakan dipercayai menggunakan senjata tajam berupa sebilah pisau. 

Sewaktu kejadian, mangsa telah diugut untuk menyerahkan hasil wang kedai. Walau bagaimanapun, mangsa enggan untuk menurut permintaan suspek. 

Pergelutan pun berlaku, mangsa telah mendapat kecederaan manakala suspek telah berjaya melarikan diri. Pihak Polis melalui Balai Polis Berakas telah dihubungi bagi menjalani siasatan awal. 

Berikutan dengan laporan kejadian tersebut, Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta dengan dibantu Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah telah mengambil alih penyiasatan dan berjaya membuat penahanan ke atas suspek berkenaan hasil bantuan daripada orang ramai. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 30 tahun dan kes ini masih dalam siasatan pihak PPDB. 

Dalam pada itu, pihak polis juga telah berjaya menemukan beberapa barang-barang bukti seperti pisau, kenderaan dan juga pakaian suspek yang digunakan bagi membantu penyiasatan dan pendakwaan. 

Kes ini disiasat atas kesalahan rompakan di bawah Seksyen 392 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. Jika sabit kesalahan akan membawa penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak kurang dari 12 kali sebatan. 

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh orang ramai yang telah menyalurkan maklumat mengenai keberadaan suspek yang membolehkan pihak polis mengesan sehingga suspek berjaya ditahan. 

Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihatkan kepada semua pemilik-pemilik premis perniagaan supaya akan dapat memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat yang bersesuaian. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI