JUMAAT, 13 November 2020 – Transformasi ke era digital telah merangsang kehidupan sejagat menjadi lebih mencabar bukan sahaja menyentuh bidang teknologi serta penjanaan ekonomi bahkan kepentingan keselamatan amat dititikberatkan dalam pembangunan dan kesejahteraan sesebuah negara.
Peranan masyarakat merupakan tonggak utama dalam membantu merealisasikan hasrat tersebut, melalui perpaduan yang akrab serta rangkaian kerjasama dan keprihatinan sesebuah komuniti masyarakat seperti Pengawasan Kejiranan (PK) boleh membantu dalam menjana kehidupan yang aman lagi harmoni.
Sehubungan itu, beberapa kampung di negara ini telah giat mengikuti aktiviti di bawah Program PK anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang menjurus kepada rondaan pencegahan jenayah dan juga pendekatan kepada penduduk-penduduk kampung.
BRUNEI MUARA – Tiga (3) buah kampung terdiri daripada keahlian PK Kg Lupak Luas Kg Ayer, RPN Kg Mentiri kawasan 2 dan Kg Masin telah ikut serta menjalankan rondaan pencegahan serta pendekatan bersama keanggotaan balai-balai polis yang dipimpin oleh Pegawai Menguasa Balai Polis dan juga penglibatan ketua-ketua kampung.
Program rondaan yang dirancang diaturkan hasil daripada perkongsian maklumat yang dibincangkan sebelumnya bagi memastikan rondaan yang dijalankan mencapai objektif yang dikehendaki.
TUTONG – Satu perjumpaan serta perbincangan telah dijalankan bersama Pmk Ketua Kg Sengkarai, mengetuai rombongan program pendekatan PK ialah Penolong Pengawai Menguasa Balai Polis Tutong dan anggota-anggota Balai.
Tujuan pendekatan kali ini adalah menumpukan terhadap perkongsian kadar statistik jenayah serta bertukar-tukar maklumat mengenai keadaan situasi tadahan kampung tersebut.
Usaha praktikal yang berorentasikan komuniti ini diharap akan membantu sepenuhnya dalam usaha menangani dan membenteras apa jua kegiatan-kegiatan negatif yang melanggar undang-undang di negara ini.
PPDB melalui Urusetia PK berharap lebih banyak lagi penyertaan daripada penduduk-penduduk kampung dalam objektif utama iaitu bersama masyarakat mencegah jenayah.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
