BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 5 Disember 2020 – Sebanyak 300 katon rokok telah berjaya dirampas hasil daripada rondaan operasi yang dilaksanakan oleh gabungan agensi beruniform. 

Pasukan Simpanan ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menjalankan rondaan Tugas Operasi Sepadu Task Force Covid-19 yang dijalankan di kawasan Simpang 217 Kg Lumapas. 

Semasa rondaan dijalankan telah berjaya menemukan beberapa kotak-kotak berwarna hitam yang diletakkan di kawasan permukaan tanah dalam keadaan yang mencurigakan. 

Pemeriksaan dijalankan dan mendapati bungkusan berkenaan berisi barangan tegahan iaitu rokok jenama ERA. Barang tegahan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Kg Ayer bagi siasatan awal dan kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa mengingati orang awam agar sentiasa akur dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah diperuntukkan di Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI