LIMAU MANIS, Isnin 28 Dis 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa meningkatkan usaha dalam memperkasa dan menanai isu-isu sempadan daripada terdedah dan menjadi laluan para penjenayah untuk menjalankan kegiatan jenayah.
Strategi pengawalan di kawasan-kawasan sempadan adalah dititikberatkan dengan menjalankan pemeriksaan-pemeriksaan rutin terhadap kenderaan ataupun individu yang didapati melalui atau berada di kawasan larangan.
Dalam pada itu, pada 27 Disember 2020, sebuah kenderaan bersama pemandunya telah ditahan oleh keanggotaan Pos Polis Kawalan Bebuloh semasa melalui pos berkenaan selepas perjalanan pemandu terbabit dari kawasan hujung jalan Kg Bebuloh.
Daripada pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan satu bungkusan yang mencurigakan disimpan di bahagian bawah alas kaki penumpang hadapan. Setelah diteliti bungkusan tersebut mengandungi pecahan hablur, dipercayai dadah jenis Syabu.
Suspek seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun kemudian ditahan dan Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) segera dihubungi bagi menjalankan siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
