BRUNEI MUARA, Ahad 18 April 2021 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan satu kejadian kemalangan jalan raya telah berlaku pada pagi tadi dan telah meragut nyawa seorang lelaki warganegara tempatan berusia 25 tahun. 

Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan PPDB telah menerima panggilan kecemasan tersebut ditalian 993 pada 18 April 2021 sekitar jam 5.37 pagi memaklumkan mengenai satu kemalangan berlaku di kawasan Taman Damuan, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Daerah Brunei Muara. 

Sejurus maklumat diterima Pihak Polis segera ke tempat kejadian bagi pengesahan siasatan dan mendapati insiden berkenaan melibatkan kemalangan sendiri dan seorang mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan berkenaan. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat turut hadir ditempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital RIPAS dan telah disahkan meninggalkan dunia oleh doktor petugas. Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa mengesahkan punca kematian disebabkan oleh kecederaan parah akibat daripada kemalangan dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis. 

Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitik beratkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di Jalan Raya. 

Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan dalam keadaan dipengaruhi dengan bahan ubat-ubatan atau pengaruh alkohol atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh mengakibatkan kemalangan berlaku.

Pemandu dan penumpang hendaklah sentiasa memakai tali pinggang keselamatan kerana ianya boleh mengelakkan risiko kecederaan impak daripada sesuatu kemalangan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI