TUTONG, Jumaat 27 November 2020 – Operasi Sepadu melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini telah dikendalikan di Daerah Tutong pada 27 November 2020 sekitar lewat malam.
Seramai 105 orang pegawai dan ahli penguatkuasa telah terlibat sama di dalam operasi tersebut yang telah diketuai oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Shahrin bin Serbini.
Tujuh (7) agensi-agensi yang terlibat adalah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) terdiri daripada Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia dan Unit Hal Ehwal Luar Interpol dan Aseanapol, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Buruh dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN).
Menerusi Operasi tersebut sebanyak 4 lokasi sasaran telah dibuat pemeriksaan tertumpu di kawasan kediaman rumah para pekerja-pekerja warga asing yang bekerja di bawah tadahan Daerah Tutong.
Hasil daripada operasi sepadu tersebut beberapa kesalahan telah didapati dibawah akta masing masing;
1- 3 orang warga asing diambil tindakan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan dikeluarkan pas khas.
2- Manakala 2 orang warga asing lagi diambil tindakan oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) atas kesalahan penemuan barang tegahan.
Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahu pun keamanan di negara ini.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
