TEMBURONG, Rabu 12 Mei 2021 – Operasi sekatan jalanraya melibatkan Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dikendalikan semalam di kawasan Jalan Labu pada 11 Mei 2021 sekitar awal malam.
Seramai 18 orang pegawai dan keanggotaan telah terlibat sama di dalam operasi tersebut yang telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Awg Farez Akmal bin Awg Aliakbar.
Menerusi Operasi tersebut telah berhasil membuat penahanan ke atas sebuah kenderaan bersama seorang pemandu lelaki warganegara tempatan berumur 44 tahun kerana membawa bersamanya sejumlah bungkusan mencurigakan dipercayai barangan tegahan.
Kenderaan bersama pemandu dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan awal dan hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sebanyak 196 botol minuman keras, 10 katon minuman keras jenis tin pelbagai jenama dan 115 kotak rokok elektronik pelbagai jenama dan perisa.
Kertas penyiasatan selanjutnya akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.
Agensi penguatkuasa kerajaan akan sentiasa teguh dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahu pun keamanan di negara ini.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
