BRUNEI MUARA, Ahad 7 Nov 2021 – Berkesinambungan dengan Operasi Pulih yang sedang giat dijalankan ketika ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah Polis Brunei Muara dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah mengendalikan satu operasi bersepadu secara serentak di beberapa kawasan strategik di Daerah Brunei Muara semalam 6 November 2021 yang bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi. 

Operasi Sepadu yang melibatkan kolaborasi antara dua (2) jabatan ini, mensasarkan objektif utama dalam membantu menanai hasrat kerajaan dalam memastikan penurunan jumlah kes jangkitan serta merendahkan lengkungan wabak COVID-19 ini segera tercapai dalam menuju fasa pemulihan negara ini. 

Selain daripada perlaksanaan penuh ke atas tindakan di bawah Perintah Akta Penyakit Berjangkit (APB) Penggal 204, Operasi Sepadu ini juga memberikan penekanan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang meliputi kesalahan di bawah Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan juga di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (APD) Penggal 27. 

Di samping itu juga, tindakan pemeriksaan ujian saringan air kencing turut segera dijalankan di tempat kejadian jika ada didapati individu yang melanggar perintah berkenaan dalam keadaan meragukan dan mencurigakan. Hasil daripada operasi sepadu tersebut seorang wanita warga tempatan berumur 34 tahun telah ditahan dan ditangkap bagi siasatan masing-masing oleh PPDB dan BKN kerana melakukan kesalahan di bawah APB dan APD. Kes tersebut akan dihadapkan ke pihak pendakwaraya bagi tujuan pendakwaan. 

Dalam pada itu, hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan semalam 6 November 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mendapati sebanyak 9 pelanggaran akta ditemukan dan telah diambil tindakan denda kompaun ke atas mereka. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

5 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

2 kesalahan di Daerah Tutong 

2 kesalahan di Daerah Temburong 

Justeru, orang ramai adalah ditegaskan dan diperingatkan untuk terus kekal di kediaman masing-masing di sepanjang tempoh Operasi Pulih ini berkuatkuasa. Pengecualian akan hanya diberikan kepada para individu yang mempunyai kebenaran atau surat pengesahan khas melibatkan urusan kecemasan ataupun urusan penting. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI