BRUNEI MUARA, Selasa 9 Nov 2021 – Era pasca pandemik COVID-19 telah mengheret manusia sejagat kepada kesedaran yang sangat memuncak, malah ancaman yang berupa wabak virus ini sangatlah berupaya untuk melenturkan sistem kesihatan sedunia ke peringkat cemas dewasa ini.
Implikasi yang sangat tragis, sekaligus memberi tekanan kepada kegoyahan ekonomi global dan perubahan persekitaran yang sangat drastik dalam menghela kehidupan sebelumnya kepada serba norma yang baharu akibat daripada gelombang wabak COVID-19.
Natijahnya, di sebalik kemunculan kebiasaan baharu ini masyarakat adalah disaran untuk bersikap lebih terbuka dan responsif kepada tindakan dan pendekatan pihak kerajaan dalam proses membaik pulih ke arah mewujudkan gagasan dan perspektif yang baru demi kehidupan mendatang.
Tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan turut diberi tumpuan kepada peringkat barisan hadapan negara selaku tembok dan benteng kepada pemerkasaan kawalan penyakit agar pembendungan penularan di keseluruh daerah dapat dikawal dengan sewajarnya.
Daripada hasil pemantauan yang dijalankan oleh agensi-agensi penguatkuasaan melalui Operasi Pulih semalam, 8 November 2021 bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sebanyak 3 pelanggaran akta ditemukan dan telahpun dikeluarkan tindakan denda kompaun ke atas mereka.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ;
2 kesalahan di Daerah Brunei Muara
1 kesalahan di Daerah Temburong
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan berharap agar segala usaha yang digalas dalam langkah-langkah pengawalan operasi pulih ini akan memberi kesan yang jitu serta membuahkan hasil yang terbaik dalam proses-proses pembentukan fasa pemulihan negara.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
