BRUNEI MUARA, Sabtu 6 Nov 2021 – Seiring dengan perkembangan terkini dalam situasi pembendungan COVID-19 di negara ini, kerajaan telahpun bergerak dalam mengorak langkah-langkah pengawalan dengan memperkenalkan empat (4) talian hotline yang dapat dihubungi oleh masyarakat umum bagi sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dipercayai berkaitan COVID-19.
Talian hotline ini ditangani oleh Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19), di mana ianya berfungsi bagi memudahkan masyarakat dan penduduk negara menyalurkan apajua bentuk perkongsian, berhubung maklumat ataupun insiden berkaitan pelanggaran SOP COVID-19 di sepanjang operasi-operasi pemantauan dilaksanakan.
Antara lain kesalahan-kesalahan pelanggaran SOP yang dimaksudkan seperti :
1- Tidak memakai sungkup muka.
2- Tidak ada mempunyai Aplikasi Bruhealth.
3- Kesalahan melibatkan aktiviti perhimpunan ramai.
4- Kesalahan kerana tidak mengimbas kod QR BruHealth di mana-mana premis berkaitan.
5- Kesalahan kerana melanggar arahan bertahan di kediaman masing-masing yang bermula dari jam 8.00 malam sehingga 4.00 pagi di sepanjang Operasi Pulih berkuatkuasa.
6- Serta mana-mana aktiviti yang disyaki melanggar peraturan COVID-19.
Di samping itu juga, petugas-petugas N3C19 turut menerima panggilan-panggilan yang tidak ada berkaitan dengan pelanggaran SOP dan telah dinasihatkan untuk menghubungi ke talian aduan yang dimaksudkan seperti berikut ;
1- 148 bagi nasihat kesihatan.
2- 123 bagi perkhidmatan yang bukan kecemasan.
3- 121 bagi talian anak ataupun JAPEM.
4- 141 bagi talian kebajikan.
5- 145 bagi talian harapan.
6- 991 bagi talian kecemasan Ambulan.
7- 995 bagi talian Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Turut dikongsikan ialah hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan semalam 5 November 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mendapati sebanyak 5 pelanggaran akta ditemukan dan telah diambil tindakan denda kompaun ke atas mereka.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ;
5 kesalahan di Daerah Brunei Muara
Justeru, berilah masa, ruang dan peluang kepada Pihak Kerajaan untuk bertindak dalam mengatur strategi ke arah memerangi pandemik COVID-19 demi kesejahteraan penduduk di negara ini.
Tanggungjawab dalam memerangi ancaman wabak ini tidak hanya terletak di atas bahu kerajaan malah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk sentiasa berganding bahu, tenaga dan usaha demi untuk kepentingan negara serta kebaikan bersama.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
