BRUNEI MUARA, Jumaat 5 Nov 2021 – Hambatan teknologi alam maya dan internet telah merangsang masyarakat awam kepada pencetus penggunaan penuh akan kemajuan digitalisasi yang sedia ada, lebih-lebih lagi ketika negara sedang menghadapi situasi pendemik wabak COVID-19. 

Di sebalik kewujudan platform digital serba canggih ini, penyebaran maklumat tidak tepat dan penularan berita palsu turut dilihat sebagai masalah yang serius dan mempunyai risiko dalam mempengaruhi pendapat umum serta tingkah laku masyarakat di samping memberi kesan dan implikasi dalam menggugat keamanan dan keselamatan negara. 

Bagi mengatasi dan mengelak daripada terdedah kepada sumber khabar angin dan berbaur propaganda, orang ramai ditegaskan dan disarankan untuk sentiasa merujuk dan mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang rasmi daripada pihak-pihak kerajaan. 

Perkara ini juga berkait rapat dengan langkah-langkah pengawalan COVID-19, di mana Pihak Kerajaan telah mewujudkan talian-talian hotline bagi memudahkan orang ramai untuk membuat laporan atau mengongsikan sebarang aduan mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang dikawal oleh Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19) beroperasi selama 24 jam setiap hari. 

Terkini daripada hasil pemantauan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan semalam 4 November 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mendapati sebanyak 8 pelanggaran akta ditemukan seraya diambil tindakan sewajarnya. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

4 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

3 kesalahan di Daerah Belait 

1 kesalahan di Daerah Tutong 

Masyarakat awam dikehendaki untuk lebih celik dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat yang diterima melalui mana-mana platform telekomunikasi dan media-media sosial. Ambillah inisiatif untuk mengesahkan dahulu maklumat yang diperolehi dan jika ianya didapati meragukan dan tidak pasti akan kesahihannya sila rujuk kembali ke mana-mana pihak yang berwajib. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam situasi pengawalan penularan wabak COVID-19 ini akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan maklumat-maklumat palsu akan diperjelaskan dengan secepatnya bagi mengelak dari sebarang tanggapan dan sentimen buruk yang boleh sahaja mendatangkan huru-hara kepada masyarakat awam. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI