BRUNEI MUARA, Khamis 4 Nov 2021 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diberi mandat selaku agensi utama dalam mengepalai segala aktiviti penguatkuasaan bagi langkah-langkah pengawalan ke atas penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

Penguatkuasaan ini bahkan diganding kerjasama dari kalangan kolaborasi pelbagai agensi-agensi penguatkuasa undang-undang kementerian di atas landasan Operasi Pulih di bawah kawalan Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 (N3C19) dalam memacu perancangan yang teliti, teratur, strategik lagi mampan. 

Melalui operasi pulih ini, pihak kerajaan telah mengambil pendekatan yang betul dan keputusan yang tepat dalam usaha membendung wabak ini. Kesiapsiagaan barisan hadapan dalam menjalankan penugasan juga telah mengetepikan keselamatan diri dari terdedah dengan risiko jangkitan demi untuk sumpah kesetian dalam melindungi negara dan masyarakat daripada ancaman tersebut. 

Adalah diperingatkan kepada masyarakat awam untuk sentiasa mengikuti segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan semasa Operasi Pulih dijalankan. Pihak Penguatkuasaan yang ditugaskan tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan penugasan dan tidak akan sekali-kali berkompromi dalam mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 mahupun sebarang akta yang berbaur perilaku jenayah di sepanjang operasi dilaksanakan. 

Di samping itu, hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan semalam 3 November 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mendapati sebanyak 12 pelanggaran akta ditemukan seraya diambil tindakan sewajarnya. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

7 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

5 kesalahan di Daerah Belait 

Dalam memastikan pembendungan penularan ini berhasil dengan jayanya, barisan hadapan dikehendaki untuk sentiasa cekal, nekad dan membulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kemaslahatan negara, nusa dan bangsa yang tercinta.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI