BRUNEI MUARA, Sabtu 23 Okt 2021 – Masyarakat awam perlu terus memberikan komitmen penuh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah pencegahan wabak, walaupun setelah menerima dua (2) dos suntikan vaksin COVID-19.
Justeru, jangan mudah bersikap alpa dan lalai dengan tidak mengamalkan penjarakan sosial dan untuk sentiasa memakai sungkup muka semasa keluar rumah terutama sekali ketika berinteraksi sosial bersama orang lain bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan dan juga kluster kes-kes baharu.
Oleh itu, mandat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan kepada pihak penguatkuasaan yang dipimpin oleh Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan rondaan serta mengambil tindakan sewajarnya kepada sebarang individu yang gagal ataupun ingkar dengan perintah yang telah ditetapkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Hasil daripada tindakan Operasi Pulih yang dijalankan oleh pihak penguatkuasa, bagi hari ke 19 belas iaitu 22 Oktober 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sejumlah 23 tindakan denda kompaun telah dikeluarkan.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ;
23 kesalahan di Daerah Brunei Muara
Budaya norma baharu dalam kehidupan masyarakat sekarang merupakan cabaran besar yang perlu diadaptasi dan dipraktikkan dengan sebaiknya. Persepsi ke arah transformasi memerlukan kesabaran dan tekad yang kuat untuk mengubah daripada penghalang menjadi peluang.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
