BRUNEI MUARA, Selasa 19 Okt 2021 – Penguatkuasaan terhadap pengawalan dan pembendungan wabak COVID-19 di kalangan masyarakat awam tidak hanya tertumpu semasa Operasi Pulih ini sahaja, bahkan ianya juga dikuatkuasakan meliputi waktu siang menjurus kepada kesemua pelanggaran akta, kecuali perintah terhadap arahan bertahan di dalam rumah kediaman masing-masing yang dilaksanakan pada jam 8 malam sehingga 4 pagi.

Penguatkuasaan yang dipimpin oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi penguatkuasa yang berkaitan, berusaha dan bertungkus lumus menggerakkan keanggotaan untuk melakukan rondaan, pemantauan serta sekatan jalanraya bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin dan terjaga. 

Berikut adalah hasil catatan daripada Operasi Pulih yang dijalankan semalam 18 Oktober 2021 bagi seluruh daerah di mana sebanyak 6 pelanggaran kesalahan telah berlaku melibatkan perintah di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

4 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

2 kesalahan di Daerah Belait 

Menerusi hasil jumlah dapatan terhadap pelanggaran akta berkenaan mendapati masih terdapat segelintir masyarakat awam yang masih degil terhadap pematuhan arahan berkenaan. 

Oleh yang demikian, PPDB mengingatkan dan menegaskan bahawa Pihak Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar dan akan memastikan tindakan setimpal akan dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah termaktub di Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI