BRUNEI MUARA, Isnin 18 Okt 2021 – Operasi Pulih merupakan salah satu langkah dan strategi tambahan Kementerian Kesihatan dalam usaha negara membendung penularan COVID-19 ini dengan secara lebih menyeluruh. Operasi ini menjurus kepada aspek pengawalan, terhadap pergerakan masyarakat awam untuk sentiasa berada di rumah kediaman masing-masing bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi. 

Oleh yang demikian, jika ada yang didapati ingkar, tindakan denda kompaun berjumlah $500 akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar perintah arahan tersebut. Ini juga termasuk beberapa lagi kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan denda kompaun di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat di dalam Operasi Pulih semalam 17 Oktober 2021 telah mencatatkan sebanyak 12 pelanggaran kesalahan yang telah membawa kepada tindakan denda kompaun. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

12 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

Setakat hari ini, Operasi Pulih telah pun berjalan selama 14 hari (2 minggu) sejak ianya dilaksanakan pada 4 Oktober 2021 yang lalu. Secara keseluruhan tindakan denda kompaun yang dikeluarkan di sepanjang 14 hari operasi dijalankan adalah sebanyak 407 kesalahan. 

Kerjasama dari pihak masyarakat awam di negara ini adalah amat mustahak dalam sama-sama menamatkan terus rantaian jangkitan wabak ini, hakikatnya kesemua perancangan yang diatur oleh pihak kerajaan memerlukan kesungguhan, komitmen, kesabaran dan ketabahan secara berterusan. 

Secara umumnya, sentiasalah berwaspada, akur dan juga patuh terhadap perancangan pihak kerajaan bagi kepentingan dan kemaslahatan hidup bernegara. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI