BRUNEI MUARA, Ahad 17 Okt 2021 – Gelombang krisis pandemik COVID-19 ini telah banyak memberi kesan kepada gaya kehidupan penduduk negara kepada trend pengamalan norma baharu. 

Penjarakan sosial, pemakaian sungkup muka serta penjagaan kebersihan diri telah menjadi perkara utama dalam usaha sepadu pihak kerajaan dan masyarakat awam untuk mengekang penularan wabak COVID-19 ini daripada lebih berleluasa. 

Dalam pada itu, aspek penguatkuasaan juga dititikberatkan agar dapat membantu pihak kerajaan dalam mengimplementasikan setiap arahan kerajaan dilaksanakan berpandukan kepada akta-akta yang diperuntukkan seperti Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. 

Menerusi Operasi Pulih yang telah dikendalikan semalam 16 Oktober 2021 bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sejumlah 16 pelanggaran telah dilakukan dan tindakan denda kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang melanggar kesalahan. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah; 

13 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

2 kesalahan di Daerah Belait 

1 kesalahan di Daerah Tutong 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada penduduk negara ini untuk bersama-sama menggalas peranan dan tanggungjawab dalam mendisiplinkan arahan pematuhan yang ditetapkan pihak kerajaan dalam hala tuju memutuskan rantaian COVID-19 ini dengan secepat mungkin.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI