BRUNEI MUARA, Ahad 31 Okt 2021 – Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah rumah elektrik di kawasan STKRJ Kampung Rimba dipercayai terkena renjatan elektrik.
Keanggotaan penyiasat Balai Polis Bandar Seri Begawan (BSB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan di talian 993 pada 31 Oktober 2021 sekitar jam 4.32 pagi.
Menurut laporan yang diterima, telah mendengar bunyi letupan serta bunyi teriakan semasa kejadian tersebut berlaku seraya segera melaporkannya ke Pihak Polis bagi sebarang tindakan.
Hasil pemeriksaan pihak polis di tempat kejadian telah mengesahkan mengenai penemuan susuk tubuh dipercayai seorang lelaki yang sedang terbaring dalam keadaan melecur dan tidak sedarkan diri. Semasa pemeriksaan dijalankan juga telah mendapati pintu panel elektrik dalam keadaan terbuka dan terdapat penemuan peralatan dan perkakas dipercayai digunakan untuk memotong kabel.
Penemuan susuk tubuh tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota Paramedik yang bertugas dan dihantar ke Bilik Mayat, Hospital RIPAS BSB bagi menjalani pemeriksaan bedah siasat.
Pasukan Polis Diraja Brunei masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. Dipohonkan juga kepada orang ramai jika ada mempunyai sebarang maklumat ataupun mengetahui mengenai apajua berkaitan dengan kejadian ini untuk segera tampil ke mana-mana Balai Polis berdekatan bagi membantu siasatan.
PPDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama ataupun tampil kemana-mana Balai Polis untuk mengongsikan sebarang maklumat yang berbentuk tindakan segera, siasatan, pencegahan mahupun pembenterasan. Dengan penyaluran maklumat yang berharga sepertinya akan memberi kesan yang tinggi dalam penurunan kadar jenayah di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
