BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 19 April 2021 – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan lagi Majlis Bertadarus sempena bulan Ramadhan bagi tahun 1442H/2021M di Masjid Setia Ali, Pekan Muara.
Hadir pada majlis tersebut selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir ialah Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis didahului dengan penyampaian sumbangan wakaf keperluan masjid berkenaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid Setia Ali Pekan Muara, Yang Mulia Awang Nasehin bin Yahya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah disusuli dengan Majlis Tadarus Al-Quran dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan sembahyang fardu Asar berjemaah.
Acara sedemikian akan diteruskan lagi dengan majlis tadarus bagi JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya pada 22 April ini di Masjid Kg Belimbing Subok.
Majlis tadarus berkenaan dikelolakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
