GADONG, Sabtu 7 November 2020 – Buat pertama kalinya Program Pembangunan Kapasiti Bagi Pengurusan Pertengahan Pasukan Polis Diraja Brunei ini diadakan yang bermula pada 5hb Oktober 2020 dan berakhir pada hari ini, telah pun ditutup dengan Majlis penutup dan penyampaian sijil.  

Majlis ini diungkayahkan bersama oleh Pembangunan Sumber Tenaga Manusia Pasukan Polis Diraja Brunei bersama pihak Universiti Teknologi Brunei yang julung-julung kalinya pernah diadakan dalam merealisasikan hala tuju dan matlamat sekaligus melakar sejarah dalam pembangunan kapasiti dan kompetensi pegawai-pegawai Pasukan Polis.  

Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail yang juga merasmikan majlis penutup program tersebut. Majlis diadakan pagi jam 9.30 pagi di Dewan Bankuet, Mes Pegawai Polis Gadong. 

Di dalam ucapan beliau, program ini adalah untuk menaiktaraf kemahiran kepimpinan dengan penerapan elemen-elemen melalui perisian module dan kaedah yang telah disalurkan demi untuk membudayakan good governance mengikut peruntukan dasar kerajaan serta pengurusan perundangan sivil dan syariah.  

Pada masa yang sama, taklimat kesedaran dari agensi-agensi luar juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi risk assessment setiap peserta tentang kepentingan akhlak dan integriti individu dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam apa jua keadaan yang dihadapi nanti.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI