BRUNEI MUARA, Isnin 18 Okt 2021 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam Sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi Wassalam bagi Tahun 1443 Hijrah pada 18 Oktober 2021 sekitar jam 6.30 petang, secara dalam talian.
Hadir bagi sama-sama menyemarakkan Majlis selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Juga hadir dalam talian ialah Yang Mulia Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengarah-Pengarah Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Para Pegawai dan anggota pangkat rendah PPDB.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya diikuti dengan bacaan dikir beramai-ramai serta diakhiri dengan Dikir Marhaban.
Majlis Dikir Maulud merupakan aktiviti keagamaan yang dikendalikan setiap tahun oleh Badan Ugama Islam (BUI) PPDB dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
