BERIBI, Rabu 28 Oktober 2020 – Bagi memeriahkan dan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Majlis Dikir Syarafil Anam di masjid-masjid / surau dan balai ibadat seluruh negara adalah bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala, selain memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan agama Islam.
Sehubungan dengan itu, bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang disambut pada 12hb Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara telah mengadakan Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam selama 13 malam berturut-turut mulai 01 Rabiulawal 1442 yang lalu.
Berikutan itu, PPDB melalui Badan Ugama Islam (BUI) telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam selama 13 malam berturut-turut telah diadakan malam ini di Surau Polis Kawalan Diraja.
Hadir bagi sama-sama menyemarakkan majlis selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB. Turut hadir ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis serta Pengarah-Pengarah Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Para Pegawai dan anggota PPDB.
Majlis Penutup Dikir Maulud dimulakan dengan solat fardhu maghrib berjemaah dan diikuti dengan bacaan dikir dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
