GADONG, Khamis 6 Mei 2021 – Bulan Suci Ramadhan adalah bulan yang paling dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Terdapat banyak keberkahan di bulan ini sehinggakan banyak umat islam yang berlumba-lumba untuk mengumpulkan amal ibadah dan kebaikan terutama sekali mengamalkan pembacaan Al-Quran.

Sehubungan dengan itu, Badan Ugama Islam (BUI) Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengungkayahkan satu Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Surau Sementara, Dewan Persidangan PPDB, Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis berkenaan ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB. 

Turut hadir di majlis yang penuh keberkahan tersebut itu Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB beserta para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai, anggota dan kakitangan awam PPDB. 

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat dan diikuti oleh membaca surah-surah lazim, bacaan tahktim, dikir marhaban, doa selamat dan diakhiri dengan sembahyang fardhu zohor berjemaah yang diimamkan oleh APO Sarjan 6473 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI