SUNGAI LIANG, Ahad 28 Mac 2021 – Seorang lelaki tempatan maut selepas terlibat dengan insiden kemalangan jalanraya yang berlaku di KM 25.8 Lumut Bypass Hala Seria, Sungai Liang. 

Pihak Polis mensahkan menerima panggilan kecemasan tersebut pada 28 Mac 2021 sekitar jam 06.29 pagi melibatkan kemalangan sendiri sebuah kenderaan. Sejurus mendapat maklumat tersebut, Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. 

Hasil daripada siasatan awal pihak polis, mangsa yang maut merupakan seorang warganegara tempatan berumur 31 tahun telah memandu sebuah kereta dan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke luar jalanraya dan melanggar sebatang pokok. Siasatan juga mendapati kereta tersebut dalam keadaan terbalik dan terbakar. 

Mangsa yang maut berhasil dikeluarkan dengan bantuan keanggotaan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan kemudiannya dibawa ke Hospital RIPAS. 

Pada ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian sebenar. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada para pengguna jalanraya agar sentiasa peka akan had kelajuan yang dipandu dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalanraya dan kawasan persekitaran. 

Di samping itu, usaha akan sentiasa dikerah bagi memastikan kesedaran sentiasa dipupuk kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga keselamatan semasa pemanduan bagi mengelak daripada kecuaian yang berpunca daripada pemandu sendiri. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI