SUNGAI LIANG, Jumaat 26 Mac 2021 – Seorang penumpang maut selepas kenderaan yang ditumpangi dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang serta papan tanda jalan raya. 

Laporan kemalangan disahkan diterima oleh Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 26 Mac 2021 sekitar jam 12.30 tengah malam bertempat di kawasan Jalan Tunggulian hala ke Tutong, Daerah Belait. 

Pihak Polis segera ke tempat kejadian dan mendapati ianya merupakan kemalangan sendiri yang melibatkan 3 mangsa iaitu seorang pemandu dan 2 orang penumpang. Menurut siasatan awal, para mangsa kemalangan dipercayai dalam perjalanan daripada Sg Liang menuju ke Tutong untuk menyelesaikan urusan persendirian. 

Mangsa yang maut merupakan seorang perempuan warganegara tempatan berumur 21 tahun dan merupakan penumpang belakang dalam kenderaan berkenaan. Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bagi pemeriksaan lanjut dan mangsa yang maut disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas. 

Hasil daripada pemeriksaan awal yang dijalankan dipercayai mangsa yang maut telah mengalami kecederaan yang teruk dibahagian kepala, leher, dada dan tulang belakang. Manakala dua (2) mangsa yang lain juga mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital tersebut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati semasa memandu. Turut disarankan untuk mengambil perhatian terhadap pemakaian tali pinggang keselamatan dan jangan memandu jika dalam keadaan yang tidak sihat dan dalam keadaan mengantuk. 

Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan sentiasa mengamalkan sikap berhemah serta jangan sesekali menggunakan telefon bimbit semasa memandu sama ada membuat panggilan atau membuat pesanan ringkas. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI