BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 26 Jan 2021 – Seorang lelaki maut selepas terlibat dengan kemalangan sebuah kereta yang berlaku di kawasan sebelum terowong, pusing keliling Masjid Jame’ Asr, Lebuhraya Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHHB), Daerah Brunei Muara. 

Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan kemalangan tersebut melalui panggilan kecemasan yang telah diterima pada 25 Januari 2021 sekitar jam 10.36 malam yang memaklumkan sebuah kereta telah melanggar seorang lelaki. 

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 43 tahun dan ditemui dalam keadaan terbaring di atas jalan raya dengan tidak sedarkan diri. Manakala, pemandu kereta tidak ada mengalami sebarang kecederaan. 

Pihak Paramedik hadir ke tempat kejadian dan telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa maut kemudiannya dibawa ke Hospital RIPAS bagi menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian kemalangan sebenar.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI