SG LIANG, Selasa 1 Disember 2020 – Satu kemalangan kereta dan motosikal melibatkan kematian telah berlaku pada 1 Disember 2020 sekitar waktu malam yang berlaku di kawasan pusing keliling berdekatan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah (SM PAPHRSB), Lumut.
Pihak Polis mengesahkan telah menerima panggilan kecemasan tersebut pada sekitar jam 08.21 malam dan anggota Balai Polis Sg Liang telah segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Siasatan telah mendapati mangsa iaitu penunggang motosikal merupakan seorang lelaki warga negara tempatan berumur 32 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan menuju pulang ke rumah di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lumut.
Mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan disahkan meninggal dunia akibat daripada beberapa kecederaan daripada kemalangan berkenaan. Punca kejadian masih dalam siasatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan dan menegaskan kepada semua pengguna jalanraya untuk sentiasa berwaspada semasa memandu dan sentiasa akur dengan mengikuti had laju yang telah ditentukan.
Dalam pada itu, disarankan supaya semua pengguna-pengguna jalanraya untuk mengambil perhatian sepenuhnya terhadap peraturan-peraturan jalanraya dan jangan sesekali beranggapan bahawa jalanraya sebagai gelanggang perlumbaan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
