KUALA BELAIT, Sabtu 3 Okt 2020 – Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok.
Laporan kemalangan disahkan telah diterima oleh Balai Polis Kuala Belait , Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 3 Oktober 2020 sekitar jam 9.40 pagi bertempat di kawasan Jalan Singa Menteri, Kuala Belait.
Pihak Polis segera ke tempat kejadian dan menjalankan siasatan mengenainya. Mangsa yang maut merupakan seorang warganegara tempatan berumur 66 tahun dipercayai sedang menghala ke Kuala Belait selepas melalui laluan pusing keliling.
Mangsa yang maut segera dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bagi pemeriksaan lanjut dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas.
Hasil daripada pemeriksaan awal yang dijalankan dipercayai mangsa mengalami serangan jantung semasa memandu lalu hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan. Doktor mengesahkan beliau mengalami kecederaan di pipi dan tangan sahaja. Mangsa meninggal disebabkan serangan jantung dan mangsa juga mempunyai kes rawatan jantung sebelum ini. Semasa memandu pemandu didapati menggunakan tali pinggang keselamatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati semasa memandu. Turut disarankan untuk mengambil perhatian terhadap pemakaian tali pinggang keselamatan dan jangan memandu jika dalam keadaan yang tidak sihat.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
