SENGKURONG, Selasa 26 Jan 2021 – Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima satu laporan kemalangan melibatkan 2 buah kenderaan pada 26 Januari 2021 sekitar jam 10.01 pagi yang berlaku di kawasan Jalan Mulaut berdekatan Sekolah Rendah Mulaut, Daerah Brunei Muara. 

Susulan daripada siasatan awal pihak polis ditempat kejadian menjelaskan, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta dan sebuah treler (kenderaan berat) di mana pemandu kereta (mangsa) berkenaan telah didapati tidak sedarkan diri dipercayai daripada rempuhan kemalangan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian hasil daripada pemeriksaan ahli Paramedik bertugas. 

Mangsa merupakan seorang perempuan warganegara tempatan berumur 47 tahun dan telah dibawa ke Hospital RIPAS bagi menjalani pemeriksaan punca kematian. Hasil daripada laporan menjelaskan punca kematian adalah akibat daripada pelbagai kecederaan semasa kemalangan berlaku. Walau bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada pengguna jalanraya agar sentiasa peka dan menumpukan perhatian sepenuhnya semasa memandu terutama sekali ketika hendak keluar atau masuk ke persimpangan jalan. 

Di samping itu, turut ditekankan pemakaian tali pinggang keselamatan bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan ketika memandu jika terlibat dengan sebarang kemalangan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI