BRUNEI MUARA, Isnin 27 Sept 2021 – Pihak Kerajaan amat tegas terhadap perintah yang telah dikeluarkan berhubung penjarakan sosial dan larangan mengadakan aktiviti-aktiviti perkumpulan pada ketika ini.
Tegahan mengenai perintah ini adalah amat penting bagi setiap golongan masyarakat di negara ini untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyokong dan membantu kerajaan bagi pelaksanaan pengekangan penularan wabak COVID-19 ini secara menyeluruh dengan lebih efektif dan berkesan.
Namun demikian, kedegilan dan keingkaran masih lagi terjadi, bilamana satu laporan telah diterima oleh Pihak Polis mengenai perkumpulan yang sedang diadakan bagi acara sambutan hari jadi.
Serbuan keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan (BSB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijalankan pada 26 September 2021 sekitar jam 8.15 malam di sebuah bilik rumah pekerja di kawasan Beribi, Daerah Brunei Muara.
Hasil siasatan telah mendapati bahawa seramai 08 orang individu warganegara asing berada di dalam bilik tersebut, 06 daripadanya lelaki dan 02 orang perempuan yang berumur dalam lingkungan 28 sehingga 44 tahun.
Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan kesemua suspek segera dibawa ke Hopital RIPAS bagi menjalani ujian saringan (Swab Test), ujian darah dan air kencing sebelum tindakan lanjut dijalankan. Turut dirampas ialah telefon bimbit para suspek bagi tujuan siasatan.
PPDB dengan tegas tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan perintah undang-undang yang diarahkan dan sebarang pelanggaran perintah larangan akan dihadapkan ke muka pengadilan bagi menerima hukuman yang setimpal.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
