TEMBURONG, Selasa 10 Ogos 2021 – Melalui strategi pemantauan yang dikendalikan oleh Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil mematahkan satu percobaan menyeludup masuk barang-barang tegahan ke negara ini pada 8 Ogos 2021 semasa pemeriksaan yang dijalankan di Kawasan Jambatan SHOAS, Daerah Temburong. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 33 tahun dan telah ditahan kerana dipercayai membawa bersamanya barang tegahan yang disimpan di bahagian kerusi belakang penumpang dan bonet belakang. 

Sejumlah 4 paket rokok dan 576 tin minuman keras ditemukan dan dirampas hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan. 

Suspek akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana menghalang pengkhidmat awam menjalankan tugas awam dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan dan tindakan selanjutnya. 

Dalam pada itu, PPDB ingin menekankan bahawa, strategi pemantauan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi tujuan pembenterasan sebarang kegiatan jenayah terutama sekali barang-barang tegahan yang dibawa masuk ke negara ini secara seludup. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau perkara menyalahi undang-undang di negara ini agar dapat menyalurkan maklumat menerusi Talian Kecemasan Polis 993.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI