BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 20 Dis 2020 – Pencarian dan pengesanan terhadap dalang bagi suspek kes rompakan bersenjata yang berlaku di sebuah kedai emas di kawasan premis perniagaan Kg Tanjung Bunut berakhir dengan kejayaan penangkapan ke atas kedua-dua suspek.
Susulan penangkapan terhadap suspek pertama iaitu Muhammad Noh bin Mohd Edham dan suspek kedua Mohammad Amirul Alif bin Ali ini akan membantu sepenuhnya dalam melancarkan lagi proses penyiasatan serta pengumpulan bahan bukti.
Kejayaan ini juga merupakan hasil kerjasama daripada orang ramai yang telah mengongsikan serta menyalurkan maklumat yang amat bernilai dalam membantu Pihak Polis membuat pengesanan dan seterusnya membuat penahanan ke atas suspek-suspek berkenaan. Kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa dipikul dan dihargai dalam memastikan kehidupan masyarakat awam sentiasa terlindung dan terpelihara.
Dengan pencapaian ini, PPDB juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pegawai serta anggota daripada unit-unit di bawah Pasukan Polis Diraja Brunei serta agensi penguatkuasa undang-undang yang terlibat sama atas usaha dan bantuan kerjasama yang padu yang diberikan dalam membantu proses penyiasatan kes ini.
Di kesempatan ini, PPDB turut menekankan mengenai peruntukan di bawah Seksyen 412, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang menjelaskan bahawa mana-mana individu secara tidak jujur menerima harta yang dicuri seperti dalam kejadian rompakan dan sebagainya, jika sabit kesalahan akan dihukum penjara bagi suatu tempoh yang tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda.
PPDB juga menasihati masyarakat awam agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada terhadap sebarang kegiatan jenayah seperti curi, serta melaporkan dengan serta-merta sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan melalui talian kecemasan polis 993 atau salurkan ke balai-balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
