BRUNEI MUARA, Rabu 27 Okt 2021 – Dalam memperingati dan menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul sebagai tanda mengingati hari kelahiran Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini mengadakan Majlis Ceramah Agama Sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis yang diadakan secara dalam talian merupakan anjuran Badan Ugama Islam (BUI) PPDB.
Tetamu kehormat bagi majlis ini ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, PPDB.
Turut hadir di dalam majlis secara dalam talian ini ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abd Hamid, Penguasa Kanan Polis (Snr Supt) Haji Azree bin Haji Manaf selaku Pengerusi BUI, para pengarah dan timbalan pengarah jabatan, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan serta anggota dan warga kakitangan awam PPDB.
Ceramah pada majlis ini bertajuk Akhlak-Akhlak Nabi Muhammad S.A.W. yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Yang Mulia Ustaz Hj Sammali bin Hj Adam, Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
