GADONG, Isnin 16 November 2020 – Dalam memperingati dan menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, satu majlis ceramah khas bersempena sambutannya telah dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) anjuran Badan Ugama Islam (BUI) PPDB. 

Majlis yang diadakan di Auditorium Ibu Pejabat PPDB Tungku Gadong itu disampaikan oleh penceramah undangan dari Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Yang Mulia Ustaz Mohammad Nasyith bin Superi yang bertajuk ; Membangun Dengan Akhlak Nabi Muhammad S.A.W. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, PPDB.   Turut hadir Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan serta anggota dan kakitangan PPDB. 

Antara lain intipati ceramah agama yang disampaikan adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang sirah Rasulullah S.A.W kepada warga pasukan dalam menegakkan syiar serta cara hidup Islam yang syumul. 

Selain daripada itu, keperibadian baginda turut didedahkan dengan memiliki sifat dan akhlak yang mulia yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI