TEMBURONG, Rabu 6 Okt 2021 – Sebuah kenderaan bersama dua (2) orang individu telah berhasil ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai ada membawa bersamanya barangan buah-buahan yang tidak diisytiharkan.
Insiden penahanan telah berlaku pada 5 Oktober 2021 sekitar jam 1.03 petang di kawasan berdekatan Taman Mini Belalong, Daerah Temburong kerana didapati berada di dalam keadaan yang mencurigakan.
Pemeriksaan pengenalan diri serta kenderaan segera dilaksanakan lalu telah menemukan sejumlah bungkusan plastik yang berisi buah-buahan disimpan di bahagian kerusi penumpang bahagian belakang dan bonet belakang kenderaan.
Kedua-dua suspek yang ditahan melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan, warganegara tempatan yang berumur 47 dan 46 tahun.
Barangan buah-buahan yang dirampas berjumlah 40 biji buah durian, 5 biji buah tarap, 7 plastik buah jering seberat 69 kg dan 1 plastik buah langsat seberat 20 kg.
Seterusnya kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
PPDB akan sentiasa meningkatkan lagi kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan-kawasan pengawalan bagi memastikan kegiatan-kegiatan jenayah penyeludupan dibanteras dengan sebaiknya di samping menyahut seruan kerajaan dalam memantau dan mengambil tindakan kepada individu yang melanggar Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
