BELAIT, Sabtu 16 Okt 2021 – Satu rakaman video telah tular di media sosial yang memaparkan seorang individu sedang berada di dalam sebuah premis peniagaan dengan tidak memakai sungkup muka dengan betul dan kemas. Kejadian berkenaan berlaku pada 14 Oktober 2021 sekitar jam 10 pagi bertempat di kawasan kedai, Pandan 4, Jalan Jaya Negara, Kuala Belait.
Berikutan dengan insiden tersebut, salah seorang daripada pekerja telah ada membuat teguran ke atas individu tersebut malah diabaikan dan diendahkan. Pekerja berkenaan lalu segera melaporkan ke talian hotline COVID-19 bagi perkara tersebut diambil tindakan sewajarnya.
Keanggotaan Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengambil tindakan dengan membuat siasatan dan telah berhasil menemukan serta membawa individu tersebut ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bagi menjalani ujian saringan (swab test) COVID-19 sebelum siasatan dan keterangan lanjut diambil di Balai Polis Kuala Belait.
Individu (suspek) tersebut merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 60 tahun.
Suspek telah dilepaskan dengan ikat jamin polis bagi menantikan pengumpulan maklumat dan bukti untuk dihadapkan ke muka pengadilan atas keterlibatan suspek dengan kes penyiasatan yang lain.
Di samping itu juga, suspek telah dikeluarkan tindakan denda kompaun atas kesalahan pelanggaran perintah di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Bagi sebarang insiden yang didapati melanggar sebarang peraturan atau SOP di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, orang awam bolehlah menghubungi Talian Hotline, di Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 (N3C19) yang beroperasi selama 24 jam setiap hari.
Talian-talian Hotline yang dapat dihubungi, iaitu +673 8176148 atau +673 8175148 atau +673 8166148 atau +673 8155148.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
