MUARA, Isnin, 24 November 2025 – Majlis Pembukaan Rasmi Eksesais Sembilang Siri 18/25 telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Marin (POLMAR) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). Majlis tersebut menandakan permulaan eksesais atau Latihan dua hala antara PPDB dan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) yang dikendalikan selama empat hari bermula pada hari Isnin, 24 November 2025 sehingga hari Khamis, 27 November 2025.
Hadir bagi menyempurnakan majlis, Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, PPDB. Turut hadir, Yang Mulia Kapten Sonny Iskandar bin Rasani, Pemerintah Armada TLDB; Penguasa Polis (SUPT) Kasnol bin Haji Muhammad Kincho, Pegawai Pemerintah POLMAR; Leftenan Komander Mohd Amiel Azim bin Haji Afflon, Pegawai Pemerintah KDB AFIAT; serta pegawai-pegawai dari TLDB dan POLMAR.
Penganjuran tahun ini diterajui oleh POLMAR dengan objektif memperkukuhkan hubungan kerjasama yang telah lama terjalin serta meningkatkan lagi kesepaduan operasi antara kedua-dua agensi.
Eksesais Sembilang bertujuan menguji dan mempertingkatkan tahap kesalingoperasian (interoperability) antara POLMAR dan TLDB dalam menangani pelbagai spektrum ancaman keselamatan maritim, termasuk jenayah rentas sempadan serta isu berkaitan pertahanan perairan negara.
Sebanyak empat (4) unit terlibat dalam eksesais kali ini iaitu KDB AFIAT, KDB SELAMAT, Grup Tindak Permukaan Laut (GTPL) TLDB, serta Bot Pemintas Unit Operasi Khas (UOK) POLMAR.
Eksesais Sembilang 18/25 ini juga akan dijalankan dalam 3 fasa iaitu fasa pangkalan, fasa laut dan fasa penutup. Fasa pangkalan akan dijalankan selama dua hari di mana pelbagai latihan seperti perbincangan operasi, serta bengkel compliant boarding dan penggeledahan yang diselaraskan oleh UOK dan GTPL. Manakala fasa laut akan dijalankan selama satu hari bagi menjalankan latihan
senario bagi penemuan kapal nelayan asing menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Brunei.
Oleh itu PPDB ingin memaklumkan bahawa pada Rabu, 26 November 2025, antara 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, latihan fasa laut akan dijalankan di sekitar perairan Berakas. Orang awam, khususnya para nelayan, dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan latihan dan tidak berasa cemas semasa aktiviti tersebut berlangsung.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI