BRUNEI-MUARA, Rabu, 05 November 2025 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dan inisiatif membenteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah memberikan taklimat mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada tujuh puluh lima (75) orang petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan di Muara Port Company (MPC) Sdn. Bhd.



Objektif utama taklimat ini adalah untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran peserta-peserta yang hadir tentang kaedah-kaedah dalam mengetahui mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia di negara ini.
Dengan ini, pihak penguatkuasa dan agensi barisan hadapan adalah disarankan untuk sentiasa berwaspada dan mengenal pasti identiti individu-individu yang mana berkemungkinan terjebak dan dieksploitasi untuk menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Kerjasama pihak kakitangan MPC adalah diperlukan untuk memainkan peranan dalam sama-sama membantu PPDB dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI