Bandar Seri Begawan, Selasa, 04 November – Satu Operasi Sepadu yang diketuai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang melibatkan pegawai dan anggota daripada Daerah Polis Brunei Muara dengan kerjasama daripada Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), telah dilaksanakan pada kira-kira jam 7 malam bertempat di sebuah kediaman di Kampung Bengkurong.
Sejurus maklumat diterima, serbuan dilakukan di tempat kejadian dan telah berjaya menemukan beberapa barang tegahan iaitu 345 tin beer serta 71 botol minuman keras berbagai jenis yang dipercayai untuk dijual. Turut dirampas oleh pihak JKED adalah sejumlah wang, beberapa jenis telefon bimbit, sebuah kenderaan dan kad bank yang dipercayai digunakan untuk perniagaan haram tersebut.



Siasatan lanjut mendapati aktiviti penjualan minuman keras itu dijalankan oleh suspek yang merupakan seorang wanita, warganegara Malaysia berumur 50 tahun. Manakala seorang lelaki warganegara tempatan juga ditahan kerana bersubahat dalam khidmat penghantaran minuman keras yang dibeli. Kedua-dua suspek ditahan dan barang rampasan dibawa oleh pihak JKED bagi siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB ingin memperingatkan orang ramai, sesiapa yang didapati membeli, menjual, menghantar atau berurusan dengan barangan yang ditegah di negara ini adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada. Orang ramai adalah diseru, jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di negara, sila salurkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI